Rabu, 19 Jun 2013

Perkara Mengenai Kemasukan Ke Dalam Syurga - Wanita


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).”
(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa Allah s.w.t Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang telah memberi peluang keemasan kepada setiap wanita yang beriman bahawa untuk memasuki Syurga-Nya yang penuh kenikmatan adalah melalui empat syarat sahaja.

Sedangkan seorang lelaki yang beriman ia kena melalui banyak halangan dan dugaan dan melaksanakan beberapa tanggung jawab kepada Allah s.w.t. terlebih dahulu barulah ia layak memasuki Syurga Allah s.w.t melainkan para syuhada yang syahid di jalan Allah s.w.t.

Empat syarat tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Melakukan solat lima waktu.
Solat merupakan pemisahan antara keimanan dan kekufuran yang haq dan yang bathil.Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:”Maka dirikankanlah solat itu (sebagaimana biasa)sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman ” (Surah An-Nissa’ ayat 103)

Diriwayatkan dari Jabir r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Perumpamaan solah lima waktu ialah seperti seseorang yang mandi di sebatang sungai yang dalam yang mengalir di hadapan rumahnya sebanyak lima kali sehari.”(Hadis Riwayat Muslim)
Kedua : Puasa di bulan Ramadhan.

Dari Abu Hurairah r.a. bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya :: “Setiap amanalan anak Adam (manusia) itu digandakan satu kebaikan dengan sepuluh yang seumpamanya hingga kepada 700 kali ganda. Firman Allah s.w.t. (maksudnya) :” Kecuali puasa yang dikerjakan untuk Ku, maka Aku-lah yang membalasnya. Dia menahan syahwatnya dan meninggalkan makan kerana Aku” Bagi orang yang puasa itu ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka (atau berhari raya) dan gembira ketika menemui Tuhannya kelak. Dan, demi bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi.” (Hadis Riwayat Muslim )

Ketiga : Menjaga maruahnya.
Wanita solehah yang menjaga maruahnya adalah wanita yang sentiasa menghiasi diri dengan akhlak Islam dan sifat-sifat terpuji yang boleh melindungi dirinya dari kemurkaan Allah s.w.t. Bila ia keluar rumah sentiasa menutup aurat dan menjaga perhiasan diri tidak bersolek berlebih-lebihan dan berwangi–wangian hingga menimbulkan fitnah, menjaga pergaulannya, menjaga lidah dan tidak mengumpat dan mengadu domba. Dia adalah wanita yang berilmu, cerdik dan pintar. Setiap hari mendalami Ilmu Islam, mengkaji tafsir Al- Quran, hadis Nabi, memahami ilmu realiti semasa dan tahu cara-cara mengubati penyakit masyarakat. Di malam hari menjadi seorang abid, membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, sembahyang tahajjud dan berdo’a kepada Allah hingga menitiskan air mata.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :”Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.”(Hadis Riwayat Muslim)

Keempat : Mentaati perintah suami.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:“Sebaik-baik isteri ialah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila engkau (suami) melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintahmu, dan dia dapat menjaga kehormatan dirinya dan hartamu ketika engkau tiada di rumah.”(Riwayat Thabrani)
Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah akan turut menerima pahala seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

Kenapakah Nabi s.a.w ada mengatakan ramai ahli Neraka adalah wanita? Apakah salah silapnya yang menjadikan penghuni Neraka majoritinya adalah wanita.
Sebab-sebabnya adalah seperti berikut :
1. Wanita sering tidak bersyukur dengan nikmat rezeki yang dibawa balik oleh suaminya. Suka kepada kemewahan dan perhiasan yang hebat-hebat dan cantik.
2. Wanita sering menderhakai pada suaminya. Suka berbantah-bantah dan sentiasa menegakkan pendapatnya tanpa menghiraukan perasaan suami. Wanita yang meminta cerai kerana suaminya bercadang berpoligami adalah satu dosa kerana hak berpoligami adalah hak yang diberikan oleh Islam kepada kaum lelaki.
3. Wanita sering tidak menjaga kehormatan diri seperti suka membuka aurat (tidak bertudung kepala) dan suka berhias-hias untuk memperlihatkan kecantikannya kepada yang bukan mahram atau suami dan tidak dapat menjaga batas pergaulan yang ditetapkan syariat.
4. Wanita sukar untuk menjaga lidahnya daripada mengumpat dan mengadu domba. Dan sering menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suami dan orang lain. Terdapat juga sebahagian wanita yang fasik tidak dapat mengawal nafsunya hingga sanggup melakukan zina.


Kumpulan Usrah di bawah pimpinan Malihah


0 komen:

Catat Ulasan