Khamis, 2 Julai 2009

Kelebihan Bulan Bulan Islam

PERISTIWA BULAN JAMIDIL AKHIR

Jamadil Akhir memberi erti musim sejuk yang akhir. Dari segi bahasa, ia bermaksud penghabisan atau beku penghabisan. Bulan ini dinamakan sedemikian setelah musim kekeringan atau air menjadi beku telah berakhir. Pada ketika itu air yang pada mulanya beku telah beransur-ansur menjadi cair. Namun demikian, salji-salji atau air yang beku masih lagi kedapatan di sana-sini

Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Jamadil Akhir

1. Khalifah Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq telah meninggal dunia pada malam 22 Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah bersamaan 12 Ogos 634 Masihi ketika berumur 63 tahun dan telah disemadikan bersebelahan maqam Rasulullah s.a.w. Ketika hidup, beliau merupakan pemuda terawal yang menerima dakwah dan membenarkan kerasulan Baginda s.a.w. Khalifah Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq mempunyai akhlaq yang mulia dan sanggup menginfaqkan seluruh harta dan kemewahannya pada jalan Allah sehingga tidak meninggalkan sebarang harta ketika matinya. Sebelum kematiannya, beliau telah melantik Saiyidina `Umar Al-Khattab sebagai Khalifah Islam yang kedua menggantikan tempatnya.

2. Perlantikan Saiyidina `Umar Al-Khattab sebagai Khalifah kedua pada bulan Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah.

3. Berlakunya peperangan Yarmuk pada bulan Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah. Peperangan ini telah diketuai oleh Khalid bin Al-Walid dan disertai tentera Muslimin seramai 45,000 orang yang menghadapi tentera Rom (Byzantin) seramai 240,000 orang. Di dalam peperangan ini telah menyaksikan separuh tentera Rom telah terkorban dan seramai lebih kurang 3,000 orang tentera Muslimin syahid di medan perang. Bagaimanapun tentera Muslimin yang dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid telah berjaya mengalahkan tentera Rom yang begitu ramai.

4. Peperangan Al Jamal yang berlaku di luar kota Basrah, Iraq pada 10 Jamadilakhir tahun ke-36 Hijrah antara Amir Al Mu’minin Ali bin Abi Talib. Peperangan ini disertai beberapa sahabat antaranya `Ammar bin Yasir dan Abdullah bin Al Abbas. Dalam peperangan itu mereka menghadapi kumpulan yang diketuai oleh `Aisyah binti Abi Bakar, Talhah bin Ubaidillah dan Az Zubair bin Al `Awwam yang menuntut supaya khalifah menjalankan penyiasatan dan pembelaan terhadap pembunuhan Usman bin Affan. Peperangan itu dimenangi oleh tentera Ali bin Abi Talib. Ada pendapat yang mengatakan bahawa peperangan itu berlaku pada Jamadilawal.

Read More......