Rabu, 19 Jun 2013

Perkara Mengenai Kemasukan Ke Dalam Syurga - Wanita


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).”
(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa Allah s.w.t Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang telah memberi peluang keemasan kepada setiap wanita yang beriman bahawa untuk memasuki Syurga-Nya yang penuh kenikmatan adalah melalui empat syarat sahaja.

Sedangkan seorang lelaki yang beriman ia kena melalui banyak halangan dan dugaan dan melaksanakan beberapa tanggung jawab kepada Allah s.w.t. terlebih dahulu barulah ia layak memasuki Syurga Allah s.w.t melainkan para syuhada yang syahid di jalan Allah s.w.t.

Empat syarat tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Melakukan solat lima waktu.
Solat merupakan pemisahan antara keimanan dan kekufuran yang haq dan yang bathil.Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:”Maka dirikankanlah solat itu (sebagaimana biasa)sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman ” (Surah An-Nissa’ ayat 103)

Diriwayatkan dari Jabir r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Perumpamaan solah lima waktu ialah seperti seseorang yang mandi di sebatang sungai yang dalam yang mengalir di hadapan rumahnya sebanyak lima kali sehari.”(Hadis Riwayat Muslim)
Kedua : Puasa di bulan Ramadhan.

Dari Abu Hurairah r.a. bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya :: “Setiap amanalan anak Adam (manusia) itu digandakan satu kebaikan dengan sepuluh yang seumpamanya hingga kepada 700 kali ganda. Firman Allah s.w.t. (maksudnya) :” Kecuali puasa yang dikerjakan untuk Ku, maka Aku-lah yang membalasnya. Dia menahan syahwatnya dan meninggalkan makan kerana Aku” Bagi orang yang puasa itu ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka (atau berhari raya) dan gembira ketika menemui Tuhannya kelak. Dan, demi bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi.” (Hadis Riwayat Muslim )

Ketiga : Menjaga maruahnya.
Wanita solehah yang menjaga maruahnya adalah wanita yang sentiasa menghiasi diri dengan akhlak Islam dan sifat-sifat terpuji yang boleh melindungi dirinya dari kemurkaan Allah s.w.t. Bila ia keluar rumah sentiasa menutup aurat dan menjaga perhiasan diri tidak bersolek berlebih-lebihan dan berwangi–wangian hingga menimbulkan fitnah, menjaga pergaulannya, menjaga lidah dan tidak mengumpat dan mengadu domba. Dia adalah wanita yang berilmu, cerdik dan pintar. Setiap hari mendalami Ilmu Islam, mengkaji tafsir Al- Quran, hadis Nabi, memahami ilmu realiti semasa dan tahu cara-cara mengubati penyakit masyarakat. Di malam hari menjadi seorang abid, membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, sembahyang tahajjud dan berdo’a kepada Allah hingga menitiskan air mata.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :”Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.”(Hadis Riwayat Muslim)

Keempat : Mentaati perintah suami.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:“Sebaik-baik isteri ialah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila engkau (suami) melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintahmu, dan dia dapat menjaga kehormatan dirinya dan hartamu ketika engkau tiada di rumah.”(Riwayat Thabrani)
Seorang lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat akan suaminya serta menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah akan turut menerima pahala seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata.

Kenapakah Nabi s.a.w ada mengatakan ramai ahli Neraka adalah wanita? Apakah salah silapnya yang menjadikan penghuni Neraka majoritinya adalah wanita.
Sebab-sebabnya adalah seperti berikut :
1. Wanita sering tidak bersyukur dengan nikmat rezeki yang dibawa balik oleh suaminya. Suka kepada kemewahan dan perhiasan yang hebat-hebat dan cantik.
2. Wanita sering menderhakai pada suaminya. Suka berbantah-bantah dan sentiasa menegakkan pendapatnya tanpa menghiraukan perasaan suami. Wanita yang meminta cerai kerana suaminya bercadang berpoligami adalah satu dosa kerana hak berpoligami adalah hak yang diberikan oleh Islam kepada kaum lelaki.
3. Wanita sering tidak menjaga kehormatan diri seperti suka membuka aurat (tidak bertudung kepala) dan suka berhias-hias untuk memperlihatkan kecantikannya kepada yang bukan mahram atau suami dan tidak dapat menjaga batas pergaulan yang ditetapkan syariat.
4. Wanita sukar untuk menjaga lidahnya daripada mengumpat dan mengadu domba. Dan sering menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suami dan orang lain. Terdapat juga sebahagian wanita yang fasik tidak dapat mengawal nafsunya hingga sanggup melakukan zina.


Kumpulan Usrah di bawah pimpinan Malihah


Read More......

Khamis, 14 April 2011

KELEBIHAN WANITA SOLEHAH DISISI ISLAM


Ramai yang tidak tahu bahawa ada beberapa perkara yang telah tercatit dalam hadis yang mengisahkan perbezaan darjat kaum wanita dan lelaki. Dan kelebihan tersebut ianya ada pada wanita-wanita solehah yang mengagungkan dirinya pada Allah dan sentiasa berbuat amal kebajikan di dunia dan juga untuk bekalan hari akhirat. semoga dengan sedikit ilmu yang dikongsikan ini dapat membantu para wanita-wanita diluar sana agar mengetahui akan kelebihan wanita disisi islam yang mana agama kita tidak sesekali merendahkan martabat kaum wanita, malah mempunyai nilai yang hampir sama tinggi dengan lelaki soleh jika kena pada tempat dan amalannya diterima di sisi Allah... Wallahua'lam.. selamat membaca.....

Perbezaan-perbezaan ini yang menaikan darjat kaum wanita. Ciri-ciri tersebut disesenaraikan di bawah ini :


1. Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah akan hal tersebut, jawab baginda, "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".


2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dlm rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah mencatatkan baginya setiap hari dgn 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

3. Apabila seseorang perempuan mula sakit hendak bersalin, maka Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah.

4. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkanya.

5. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah



7. Barangsiapa yang mengembirakan akan perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah dan orang yang takutkan Allah akan diharamkan api neraka keatas tubuhnya.

8. Barangsiapa membawa hadiah, (barang makan dari pasar ke rumah)lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

9. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama,maka Allah memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun)

10. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan,memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

11. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.

12. Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?? Jawab Rasulullah,"Suaminya." "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah, "Ibunya".

13. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

14. Wanita yang taat akan suaminya, ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan puasanya.


15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga.Masuklah dari mana? mana pintu yang di kehendaki dengan tidak dihisab.


16. Syurga itu dibawah tapak kaki ibu.

17. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi s.a.w) di dalam syurga.

18. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.

19. Daripada Aisyah r.a. Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.

Jadi, janganlah sesekali kita merasa lemah.wanita sebenarnya yang membuat seseorang lelaki itu kuat. Itulah salah satu sebab mengapa Nabi meletakan wanita setaraf pada lelaki dan tidak lebih rendah jika wanita itu adalah wanita yang istimewa disisi islam iaitu wanita solehah.. Amin

Read More......

Jumaat, 8 April 2011

FADHILAT MANZIL


FADHILAT @ KELEBIHAN AMALAN MANZIL DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

Manzil mengandungi beberapa ayat al-quran yang telah diajar oleh Rasulullah SAW kepadasahabat RA sebagai shifa’ (penawar dan ubat) dari beberapa jenis penyakit rohani dan jasmani serta sebagai pelindung dari sihir. Hadith sahih mengenai amalan ini terdapat di dalam kitab “HAYATUS SAHABAH” (Jilid 3 mukasurat 74) yang dikarang oleh as-Syeikhul Kabir Maulana Yusuf rah. Hadith ini telah dikeluarkan oleh Imam Ahmad, Hakim dan Tirmizi.

Ubai Ibn Kaab RA meriwayatkan: Sewaktu bersama Rasulullah SAW, seorang badwi telah datang kepada baginda dan berkat, “Ya Rasulullah SAW, saya mempunyai seorang saudara yang ditimpa penyakit. “Penyakit apa?” bertanya Rasulullah SAW. “Sejenis penyakit gila” menjawab orang tersebut. Rasulullah SAW pun membacakan surah al-fatihah, 4 ayat pertama Surah Al-Baqarah. Ayat yg bermula dengan Wailahukum ilahun wahid…., ayat Kursi dan dua ayat seterusnya, 3 ayat terakhir al-Baqarah, ayat Syahidallah annahu…terakhir dari surah al-Mu’minun (Fataaalallahuuumalikul haq…,ayat dari surah al-Jin (Waaannahu ta,ala), sepuluh ayat pertama surah Wassaat,tiga ayat terakhir dari surah Al-Hasyr, Surah al-ikhlas, Surah al-Falaq dan surah AN nas.



Fadhilat Manzil ini terlalu banyak dan dari pengalaman kebanyakan orang, Manzil ini sangat mujarab untuk menyembuh penyakit sihir, jin dan lain-lain. Dua cara untuk mengubati pesakit ialah dengan pesakit sendiri membaca ayat-ayat tersebut ataupun orang lain boleh membacakan dan menghembuskan ke dalam air dan air tersebut itu diminum oleh pesakit tersebut.


Antara Fadilat/Kelebihan Manzil

1. Mengelak/menyembuhkan penyakit akibat gangguan sihir, jin, syaitan dan seumpamanya.
2. Melindungi pengamal dan keluarganya daripada bahaya syaitan, jin, polong (gangguan makhluk halus), pencuri (melindungi harta benda), binatang buas (melindungi tanaman/ternakan) dan lain-lain.

Walaupun begitu setiap individu yang mengamalkan manzil ini kesannya tidak semestinya sama diantara satu sama lain.
Semuanya Dengan Izin Allah!


Ayat-Ayat Al Quran Dalam Manzil

1. Fatihah
2. Al-Baqarah - ayat 1-5, 163, 255-257, 284-286
3. Ali-Imran - ayat 18, 26-27
4. Al-A'raf - ayat 54-46
5. Al-Isra' - ayat 110-111
6. Al-Mukminun - ayat 115-118
7. As-Soffat - ayat 1-11
8. Ar-Rahman - ayat 33-40
9. Al-Hasyar - ayat 21-24
10. Al-Jin - ayat 1-4
11. Al-Kafirun
12. Al-Ikhlas
13. Al-Falaq
14. Al-Anas

Read More......

Khamis, 2 Julai 2009

Kelebihan Bulan Bulan Islam

PERISTIWA BULAN JAMIDIL AKHIR

Jamadil Akhir memberi erti musim sejuk yang akhir. Dari segi bahasa, ia bermaksud penghabisan atau beku penghabisan. Bulan ini dinamakan sedemikian setelah musim kekeringan atau air menjadi beku telah berakhir. Pada ketika itu air yang pada mulanya beku telah beransur-ansur menjadi cair. Namun demikian, salji-salji atau air yang beku masih lagi kedapatan di sana-sini

Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Jamadil Akhir

1. Khalifah Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq telah meninggal dunia pada malam 22 Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah bersamaan 12 Ogos 634 Masihi ketika berumur 63 tahun dan telah disemadikan bersebelahan maqam Rasulullah s.a.w. Ketika hidup, beliau merupakan pemuda terawal yang menerima dakwah dan membenarkan kerasulan Baginda s.a.w. Khalifah Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq mempunyai akhlaq yang mulia dan sanggup menginfaqkan seluruh harta dan kemewahannya pada jalan Allah sehingga tidak meninggalkan sebarang harta ketika matinya. Sebelum kematiannya, beliau telah melantik Saiyidina `Umar Al-Khattab sebagai Khalifah Islam yang kedua menggantikan tempatnya.

2. Perlantikan Saiyidina `Umar Al-Khattab sebagai Khalifah kedua pada bulan Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah.

3. Berlakunya peperangan Yarmuk pada bulan Jamadil Akhir tahun ke 13 Hijrah. Peperangan ini telah diketuai oleh Khalid bin Al-Walid dan disertai tentera Muslimin seramai 45,000 orang yang menghadapi tentera Rom (Byzantin) seramai 240,000 orang. Di dalam peperangan ini telah menyaksikan separuh tentera Rom telah terkorban dan seramai lebih kurang 3,000 orang tentera Muslimin syahid di medan perang. Bagaimanapun tentera Muslimin yang dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid telah berjaya mengalahkan tentera Rom yang begitu ramai.

4. Peperangan Al Jamal yang berlaku di luar kota Basrah, Iraq pada 10 Jamadilakhir tahun ke-36 Hijrah antara Amir Al Mu’minin Ali bin Abi Talib. Peperangan ini disertai beberapa sahabat antaranya `Ammar bin Yasir dan Abdullah bin Al Abbas. Dalam peperangan itu mereka menghadapi kumpulan yang diketuai oleh `Aisyah binti Abi Bakar, Talhah bin Ubaidillah dan Az Zubair bin Al `Awwam yang menuntut supaya khalifah menjalankan penyiasatan dan pembelaan terhadap pembunuhan Usman bin Affan. Peperangan itu dimenangi oleh tentera Ali bin Abi Talib. Ada pendapat yang mengatakan bahawa peperangan itu berlaku pada Jamadilawal.

Read More......

Ahad, 7 Jun 2009

Fadilat Surah Al Baqarah

Antara Fadilat Surah Al-Baqarah

  • Imam al-Baihaqi dari Imam Shalshal berkata:

    "Barangsiapa membaca Surat Baqarah maka dipakaikan kepadanya mahkota disyurga."


  • Imam Ibnu Zanjawai dari Imam Wahab ibn Munabih menyatakan:

    "Barangsiapa membaca Surat Baqarah dan Al Imran pada malam Jumaat maka baginya nur cahaya membentang antara Arsy dan dasar bumi."


  • Abu Mas'ud Albadri r.a. berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda;

    "Barangsiapa membaca dua ayat dari surat Al-Baqarah, maka cukuplah baginya (dari hal-hal yang membencikan. Dan menurut sebahagian pendapat :sama dengan bersembahyang malam)."
    (Riwayat Bukhari & Muslim)


  • Ibnu Abbas r.a. bercerita:

    Pada suatu ketika Malaikat Jibrail berada disisi Nabi Muhammad s.a.w., tiba-tiba terdengar suara dari atas, maka ia mengangkat kepalanya dan berkata: "Ini sebuah pintu dilangit, pada hari ini dibuka dan turun seorang malaikat memberi salam dan berkata:

    "(Bergembiralah dengan dua cahaya penerangan yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepadamu dan belum pernah diberikan kepada seseorang Nabi sebelum kamu iaitu: FATIHUL KITAB dan akhir SURAH AL-BAQARAH. Tiada engkau membaca suatu huruf daripadanya melainkan pasti permintaanmu diberi)."
    (Riwayat Muslim)


  • KEUTAMAAN DUA AYAT AKHIR DARI SURAH AL-BAQARAH:

    (Maksudnya) "Rasul telah beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, demikian pula orang-orang yang beriman, semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya. Mereka berkata: "Kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari Rasul-rasulNya, dan mereka mengatakan: Kami patuh dan taat; Ampunilah kami ya Tuhan kami dan kepada Engkaulah tempat kembali."

    Allah s.w.t. tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala dari kebajikan yang diusahakannya dan mendapat siksa dari kejahatan yang dikerjakannya. Mereka berdoa "Ya Tuhan kami, jangan Engkau bebankan orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami; dan rahmatilah kami, Engkaulah penolong kami, tolonglah kami atas orang-orang kafir."
    (Surah AL-BAQARAH: 285-286)


  • Abu Mas'ud Albadri r.a. berkata:

    Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud "Barangsiapa yang membaca dua ayat dari akhir surat Al-Baqarah, maka cukuplah baginya." (dari hal-hal yang membencikan dan menurut sebahagian pendapat; sama dengan bersembahyang malam)
    (Riwayat Bukhari Muslim)

Read More......

Selasa, 26 Mei 2009

Fadilat Surah Al-Ikhlas

Antara Fadilat Surah Al-Ikhlas

  • Dari Al-Muwatta', diriwayatkan oleh Abu Hurairah; Saya sedang berjalan dengan Rasulullah s.a.w, lalu baginda mendengar seseorang membaca surah al-Ikhlas. Baginda berkata, “Wajiblah.” Saya bertanya kepadanya, “Apa ya Rasulallah?” Baginda menjawab, “Syurga” (Wajiblah syurga bagi si pembaca itu).
  • Sabda Rasulullah SAW: “ Barangsiapa yang membaca surah Al-Ikhlas, maka seakan-akan dia telah membaca satu pertiga Al-Qur'an”. ( Hadith Riwayat Ahmad dan An Nasai ).
  • Dari Abu Hurairah r.a. - Rasulullah SAW bersabda : "Barangsiapa membaca 'Qulhuallah (sehingga akhir ayat), maka seolah-olah dia telah membaca sepertiga Al-Qur'an"
  • “Barangsiapa yang membaca surah Al-Ikhlas tiga kali, maka seakan-akan dia telah membaca Al-quran seluruhnya”. ( Hadith Riwayat Al’ugaili dan Rajaa Al Ghanawy )
  • “Barangsiapa yang membaca surah Al-Ikhlas sebelas kali, Allah SWT membangunkan rumah untuknya di syurga.." ( Hadith Riwayat Ahmad dan Muadz bin Aras )
  • Dari Ubay Ibn Ka'ab - Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa membaca Surah Al-Ikhlas satu kali, maka Allah SWT menganugerahkan kepadanya pahala seorang yang beriman kepada Allah SWT, MalaikatNya, Kitab-KitabNya dan Rasul-RasulNya, dan Dia menganugerahkan kepadanya - dari - pahala seperti pahala syuhada"
  • "Ketika aku (Rasulullah SAW) israq ke langit, maka aku telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang Sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang Sahara itu seluas dari timur ke barat (masyrik ke maghrib) Pada setiap padang Sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas. Setelah mereka selesai membaca surah tersebut, maka berkata mereka "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini, kami berikan kepada orang yang membaca Surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan" (Riwayat Ibnu Abbas)
  • "Demi Allah yang jiwaku di tanganNya, sesungguhnya 'Qul Huwallahu Ahad" itu tertulis di sayap malaikan Jibrail A.S., 'Allahus Somad' itu tertulis di sayap Mikail A.S., 'Lam Yalid Walam Yuulad' tertulis pada sayap Malaikat Izrail A.S. 'Walam Yakullahu Kufwan Ahad' tertulis pada sayap Israfil a.s."

Read More......

Rabu, 20 Mei 2009

Kelebihan Bulan Bulan Islam

PERISTIWA BULAN JAMADIL AWAL

Peperangan-peperangan Besar Islam

1. Pada 2 Jamadiul Awal 3 H (21 Oktober 624 M) Rasulullah s.a.w. mengutuskan Zaid bin Harithah mengetuai satu sariyah (gerila) untuk menahan rombongan dagang Quraisy. Mereka berjaya melakukan misi tersebut di satu tempat bernama al-Qirdah. Ini adalah peristiwa pertama umat Islam berjaya mendapat ghanimah (harta rampasan perang).

2. Pada 27 Jamadiul Awal 13 H (3 Julai 634 M) berlaku peperangan Ajnadain. Peperangan ini berlaku di antara tentera Islam di bawah pimpinan Khalid bin al-Walid dan tentera Rom di bawah pimpinan Cobcular. Kemenangan tentera Islam di dalam peperangan ini membuka jalan untuk menyempurnakan pembukaan Islam di seluruh bumi Syam.

3. Pada 10 Jamadiul Awal 36 H (4 November 656 M) berlaku ‘Peristiwa Unta’ di al-Kharib berhampiran bandar Basrah.

4. Pada 2 Jamadiul Awal 666 H (19 Januari 1268 M) umat Islam diketuai oleh Zahir Bibris berjaya membebaskan bandar Yafa dari penjajahan tentera Salib setelah bertempur selama hanya 12 jam.

5. Pada 20 Jamadiul Awal 857 H (29 Mei 1453 M) Sultan Muhammad al-Fateh berjaya membuka kota Costantinople. Cubaan untuk membuka kota ini telah pun bermula sejak zaman Muawiyyah bin Abi Sufyan di era pemerintahan Bani Umayyah lagi. Kota Costantinople berjaya dibuka setelah menjadi ibu kota Empayar Baizantyne selama 2125 tahun.


Kelahiran Tokoh-tokoh Besar Islam


1. Pada 4 Jamadiul Awal 555 H (13 Mei 1160 M) lahir Ali bin Abi al-Karam Muhammad bin Muhammad bin Abdul Karim yang lebih dikenali sebagai Ibnu al-Athir. Beliau adalah seorang ulama’ besar Islam di dalam bidang sejarah. Di antara karya beliau adalah al-Kamil dan Asad al-Ghabah fi Makrifah as-Sohabah.

2. 27 Jamadiul Awal 1282 H (18 Oktober 1865 M) lahir Muhammad Rasyid Redha, murid kepada al-Imam Muhammad Abduh. Dilahirkan di Lubnan dan kemudian berpindah ke Kaherah. Menerbitkan majalah al-Manar yang memberikan sumbangan di dalam menyebarkan idea-idea Islam. Di antara karangannya yang masyhur adalah Tafsir al-Manar.

3. Pada 3 Jamadiul Awal 1299 H (Mac 1882 M) lahir seorang ulama’ hebat Muhammad Fuad Abdul Baqi. Beliau adalah seorang ulama’ yang mempunyai jasa besar di dalam mentahqiq (membuat analisa semula) kitab-kitab turath (tradisional) Islam. Di antara karangannya yang masyhur adalah Mu’jam Lafaz al-Quran, Musnad Sahih Bukhari dan Mu’jam Lafaz Hadis Nabawi.

4. Pada 2 Jamadiul Awal 1328 H (12 Mei 1910 M) lahir al-Imam al-Akbar Abdul Halim Mahmud, Syeikh al-Azhar yang ke 40. Beliau adalah seorang ulama’ agung, menguasai ilmu yang bersumberkan dari ilmu-ilmu Islam dan karya-karya ilmu Perancis. Mempunyai karangan yang banyak terutamanya di dalam bidang Falsasah dan Tasawwuf.


Kewafatan Tokoh-tokoh Besar Islam

1. Pada 14 Jamadiul Awal 73 H (1 Oktober 692 M) kembali ke rahmatullah Abdullah bin az-Zubair bin al-Awwam. Beliau adalah bayi pertama yang lahir ketika umat Islam berada di era daulah. Beliau dilahirkan di Madinah al-Munawarah. Seorang yang berani dan menyertai peperangan sejak mudanya. Terlibat di dalam pembukaan Afrika Utara di zaman Osman bin Affan. Beliau mati dibunuh oleh al-Hajjaj bin al-Thaqafi di zaman pemerintahan Abdul Malik bin Marwan.

2. Pada 11 Jamadiul Awal 150 H (14 Jun 767 M) kembali ke rahmatullah an-Nukman bin Thabit bin an-Nukman yang lebih dikenali sebagai Abu Hanifah. Beliau adalah pengasas mazhab Hanafi. Dilahirkan di Kufah dan menjadi ketua ulama’ Kufah sesudah kematian gurunya.

3. Pada 2 Jamadiul Awal 413 H (3 Ogos 1022 M) kembali ke rahmatullah Abul Hasan Ali bin Hilal yang lebih dikenali sebagai Ibn al-Bawwab. Beliau adalah seorang penulis khat yang hebat sepanjang sejarah Islam. Pernah menulis mushaf al-Quran tulisan tangan sebanyak 64 mushaf.

4. Pada 10 Jamadiul Awal 458 H (9 April 1066 M) kembali ke rahmatullah al-Imam Abu Bakar Ahmad bin al-Husain bin Ali bin Abdullah yang lebih dikenali sebagai al-Imam al-Baihaqi. Beliau adalah salah seorang ulama’ hadis yang terkemuka pada kurun kelima hijrah. Di antara karangan beliau adalah as-Sunan al-Kubra (Sunan al-Baihaqi), Dalail an-Nubuwwah dan al-Asma’ wa as-Sifat.

5. Pada 10 Jamadiul Awal 660 H (2 April 1262 M) kembali ke rahmatullah Abdul Aziz bin Abdul Salam bin Abi al-Qasim yang dikenali sebagai Izzudin bin Abdul Salam. Beliau adalah seorang ulama’ terkemuka di dalam bidang Fiqh, Hadis dan perundangan. Terkenal kerana beberapa pendiriannya yang tegas terhadap pemerintah sehingga dikenali sebagai ‘Sultan kepada para ulama’ dan ‘Penjual Raja-raja’

6. Pada 19 Jamadiul Awal 911 H (20 Oktober 1505 M) kembali ke rahmatullah Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakar yang dikenali sebagai Jalaluddin as-Sayuti. Seorang ulama’ fiqh dan hadis yang terkenal dengan karyanya di dalam ilmu yang pelbagai. Di antara hasil karyanya adalah Jam’ul Jawami’, Husnu al-Muhadharah, Baghiyah al-Wu’ah dan al-Isybah wa an-Nazoir.

7. Pada 8 Jamadiul Awal 1323 H (11 Julai 1905 M) kembali ke rahmatullah al-Imam Muhammad Abduh, perintis gerakan islah di Mesir. Dilahirkan di negeri al-Buhairah, Mesir. Mendapat pendidikan di Universiti al-Azhar dan pernah menjadi anak murid kepada Jamaludin Afghani. Melibatkan diri di dalam Revolusi Arab dan dibuang daerah ke Beirut. Kembali semula ke Mesir lalu dilantik sebagai Mufti Mesir.

8. Pada 4 Jamadiul Awal 1350 H (September 1931 M) pemimpin harakah jihad Islami di Libya, Omar Mukhtar menemui syahid. Beliau dijatuhkan hukuman gantung setelah mengepalai gerakan jihad menentang penjajahan Itali selama 20 tahun bermula sejak tahun pertama penjajahan lagi iaitu 1911 M.

9. Pada 23 Jamadiul Awal 1354 H (22 Ogos 1935 M) kembali ke rahmatullah Muhammad Rasyid Redha, murid kepada al-Imam Muhammad Abduh. Dilahirkan di Lubnan dan kemudian berpindah ke Kaherah. Menerbitkan majalah al-Manar yang memberikan sumbangan di dalam menyebarkan idea-idea Islam. Di antara karangannya yang masyhur adalah Tafsir al-Manar.

10. Pada 8 Jamadiul Awal 1378 H (19 November 1958 M) kembali ke rahmatullah Ahmad Abdul Rahman al-Banna, seorang ulama’ hadis di Mesir. Beliau adalah ayah kepada al-Imam as-Syahid Hasan al-Banna. Di antara buku karangan beliau adalah al-Fathu al-Rabbani li tartib musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal as-Syaibani.


Peristiwa-peristiwa Bersejarah

1. Pada 4 Jamadiul Awal 646 H (25 Ogos 1248 M) tentera Salib ketujuh dari Perancis di bawah pimpinan Louis IX mula bergerak ke sebelah timur. Mereka telah menemui kegagalan dalam peperangan al-Mansurah dan Louis IX telah dijadikan tawanan tentera Islam.

2. Pada 10 Jamadiul 1373 H (15 Januari 1954 M) gerakan Ikhwan Muslimin telah diharamkan oleh Jamal Abdul Nasir dengan menggunakan resolusi dari Parlimen Mesir. Pengharaman ini berlaku setelah gerakan Ikhwan Muslimin dianggap oleh kerajaan sebagai parti politik yang berusaha untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.

3. Pada 12 Jamadiul Awal 1386 H (29 Ogos 1966 M) Mahkamah Tinggi Mesir mengeluarkan arahan menjatuhkan hukuman gantung ke atas tujuh orang anggota gerakan Ikhwan Muslimin. Tuduhan yang dikenakan ke atas mereka adalah membentuk gerakan bersenjata untuk menumbangkan kerajaan sedia ada. Empat daripada mereka diringankan hukuman kepada penjara seumur hidup. Manakala tiga yang lain dijatuhkan hukuman gantung. Mereka adalah Sayyid Qutb, Muhammad Yusof Hawwash dan Abdul Fattah Ismail.

4. Pada 13 Jamadiul Awal 1402 H (17 mac 1982 M) al-Imam al-Syeikh Jad al-Haqqu Ali Jad al-Haqqu dilantik menjadi al-Imam al-Akbar Syeikh Azhar ke 42. Beliau dilahirkan di Daqahliyah, Mesir. Belajar di al-Azhar dan bekerja di bidang perundangan sesudah itu. Pernah menjadi Mufti dan Menteri Hal Ehwal Agama Mesir sebelum menjawat jawatan terakhirnya sebagai Syeikh al-Azhar.

5. Pada 17 Jamadiul Awal 1411 H (6 Disember 1990 M) Mahfuz Nahnah menubuhkan harakah Mujtama’ Muslim di Algeria.

6. Pada 24 Jamadiul Awal 1425 H (11 Julai 2004 M) ditubuhkan Persatuan Ulama’ Antarabangsa di London. Persatuan ini dianggotai oleh ulama’-ulama’ dan pemikir-pemikir Islam dari seluruh dunia. Ditubuhkan untuk menjadi sumber rujukan umat Islam di dalam masalah fiqh, ilmu dan pengetahuan. Diketuai oleh Dr Yusof al-Qardhawi

Read More......