Sabda
Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “Apabila seorang wanita (isteri) itu telah
melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, menjaga maruahnya dan
mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga
mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).”
(Hadis Riwayat
Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)
Berdasarkan
hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa Allah s.w.t Yang Maha Pengasih dan
Maha Penyayang telah memberi peluang keemasan kepada setiap wanita yang beriman
bahawa untuk memasuki Syurga-Nya yang penuh kenikmatan adalah melalui empat
syarat sahaja.
Sedangkan
seorang lelaki yang beriman ia kena melalui banyak halangan dan dugaan dan
melaksanakan beberapa tanggung jawab kepada Allah s.w.t. terlebih dahulu barulah
ia layak memasuki Syurga Allah s.w.t melainkan para syuhada yang syahid di
jalan Allah s.w.t.
Empat syarat
tersebut adalah seperti berikut :
Pertama :
Melakukan solat lima waktu.
Solat
merupakan pemisahan antara keimanan dan kekufuran yang haq dan yang bathil.Allah
s.w.t berfirman yang bermaksud:”Maka dirikankanlah solat itu (sebagaimana
biasa)sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas
orang-orang yang beriman ” (Surah An-Nissa’ ayat 103)
Diriwayatkan
dari Jabir r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Perumpamaan
solah lima waktu ialah seperti seseorang yang mandi di sebatang sungai yang
dalam yang mengalir di hadapan rumahnya sebanyak lima kali sehari.”(Hadis
Riwayat Muslim)
Kedua :
Puasa di bulan Ramadhan.
Dari Abu
Hurairah r.a. bersabda Rasulullah s.a.w. maksudnya :: “Setiap amanalan anak
Adam (manusia) itu digandakan satu kebaikan dengan sepuluh yang seumpamanya
hingga kepada 700 kali ganda. Firman Allah s.w.t. (maksudnya) :” Kecuali puasa
yang dikerjakan untuk Ku, maka Aku-lah yang membalasnya. Dia menahan syahwatnya
dan meninggalkan makan kerana Aku” Bagi orang yang puasa itu ada dua
kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka (atau berhari raya) dan gembira
ketika menemui Tuhannya kelak. Dan, demi bau mulut orang yang berpuasa itu
lebih harum daripada bau kasturi.” (Hadis Riwayat Muslim )
Ketiga :
Menjaga maruahnya.
Wanita
solehah yang menjaga maruahnya adalah wanita yang sentiasa menghiasi diri
dengan akhlak Islam dan sifat-sifat terpuji yang boleh melindungi dirinya dari
kemurkaan Allah s.w.t. Bila ia keluar rumah sentiasa menutup aurat dan menjaga
perhiasan diri tidak bersolek berlebih-lebihan dan berwangi–wangian hingga
menimbulkan fitnah, menjaga pergaulannya, menjaga lidah dan tidak mengumpat dan
mengadu domba. Dia adalah wanita yang berilmu, cerdik dan pintar. Setiap hari
mendalami Ilmu Islam, mengkaji tafsir Al- Quran, hadis Nabi, memahami ilmu
realiti semasa dan tahu cara-cara mengubati penyakit masyarakat. Di malam hari
menjadi seorang abid, membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, sembahyang
tahajjud dan berdo’a kepada Allah hingga menitiskan air mata.
Sabda
Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :”Sesungguhnya dunia dan seluruh isinya adalah
perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.”(Hadis Riwayat
Muslim)
Keempat :
Mentaati perintah suami.
Rasulullah
s.a.w. bersabda yang maksudnya:“Sebaik-baik isteri ialah yang dapat
menyenangkan hati suaminya apabila engkau (suami) melihatnya dan apabila
disuruh dia menurut perintahmu, dan dia dapat menjaga kehormatan dirinya dan
hartamu ketika engkau tiada di rumah.”(Riwayat Thabrani)
Seorang
lelaki perlu pergi berjihad fisabilillah tetapi wanita jika taat akan suaminya
serta menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah akan turut menerima pahala
seperti pahala orang pergi berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat
senjata.
Kenapakah
Nabi s.a.w ada mengatakan ramai ahli Neraka adalah wanita? Apakah salah
silapnya yang menjadikan penghuni Neraka majoritinya adalah wanita.
Sebab-sebabnya
adalah seperti berikut :
1. Wanita
sering tidak bersyukur dengan nikmat rezeki yang dibawa balik oleh suaminya.
Suka kepada kemewahan dan perhiasan yang hebat-hebat dan cantik.
2. Wanita
sering menderhakai pada suaminya. Suka berbantah-bantah dan sentiasa menegakkan
pendapatnya tanpa menghiraukan perasaan suami. Wanita yang meminta cerai kerana
suaminya bercadang berpoligami adalah satu dosa kerana hak berpoligami adalah
hak yang diberikan oleh Islam kepada kaum lelaki.
3. Wanita
sering tidak menjaga kehormatan diri seperti suka membuka aurat (tidak
bertudung kepala) dan suka berhias-hias untuk memperlihatkan kecantikannya
kepada yang bukan mahram atau suami dan tidak dapat menjaga batas pergaulan
yang ditetapkan syariat.
4. Wanita
sukar untuk menjaga lidahnya daripada mengumpat dan mengadu domba. Dan sering
menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suami dan orang lain. Terdapat juga
sebahagian wanita yang fasik tidak dapat mengawal nafsunya hingga sanggup
melakukan zina.